Sunday, August 17, 2014

Filled Under: , , , , ,

Sindiket Penipuan " FLY BY NIGHT"



15 Ogos, 2014 - SHAH ALAM – Polis memberkas lima individu termasuk dalang sindiket penipuan  'fly by night' yang menipu syarikat pembekal peralatan dan minyak pelincir kenderaan bernilai RM900,000. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, suspek  berusia dalam lingkungan 23 hingga 70 tahun itu ditahan di sebuah premis perniagaan di Taman Perindustrian Puchong, Rabu lalu.
“Kita turut merampas 10 tong besar berisi 200 liter minyak pelincir, 150 tong (18 liter) minyak pelincir, 23 kotak minyak pelincir pelbagai jenis, 10 tin minyak gris, 10 unit bearing clutch lori, enam tayar lori, dokumen urusniaga dan sebuah peralatan komputer yang dianggarkan bernilai RM51,000,” katanya.

Bayar Cek Tertunda

Menurutnya, modus operandi sindiket berkenaan adalah suspek mendaftarkan nama syarikat dan menyewa premis sebelum membeli barang seperti minyak pelincir, tayar, alat ganti dan peralatan membaiki kenderaan dengan membayarnya menggunakan cek tertunda atau postdated cheque.
“Sindiket berkenaan meminta tempoh kredit tiga bulan untuk barangan yang dipesan. Sindiket berkenaan juga akan membayar dengan menggunakan wang tunai apabila membeli barang dalam kuantiti yang sedikit bagi menyakinkan mangsa,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, mangsa tidak dapat menunaikan cek berkenaan kerana sindiket terbabit  telah menutup akaun.
“Suspek akan melarikan diri sebelum tempoh kredit tamat, pihak bank pula akan memaklumkan cek yang diberikan kepada mangsa adalah cek tendang,” kata Mun Phing lagi dan berkata setakat ini pihaknya telah menerima 21 laporan polis terhadap syarikat yang dipercayai aktif sejak April lalu. Siasatan juga mendapati ketua sindiket terbabit dikehendaki polis kerana terlibat dengan jenayah sama di Kota Tinggi, Johor, enam tahun lalu. 
Polis turut mengesan dua lelaki yang dikenali sebagai Lee Koio Oon, 64, dan Lau Hock Chee, 41, yang dipercayai dapat membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu terbabit, boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Mohammad Adam di talian 03-55146659Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.




















0 comments:

Post a Comment