Friday, January 2, 2015

Filled Under: , , , , ,

Cubaan Bunuh Pembantu Rumah Indonesia: Serene Berdepan Hukuman 40 Tahun Jika Sabit Kesalahan

Meriance Kabu. Foto dari Tempo.com
2 Januari 2014 - Ampang, Kuala Lumpur. Konsultan kilang, Serene Ong Su Ping  dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang terhadap dua pertuduhan iaitu mendera seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan mencabut empat batang gigi menggunakan playar dan percubaan membunuh amah itu sejak April tahun lalu.‬ 

Guna Playar Cabut 4 batang gigi Meriance

Serene, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Unaizah Mohd.‬ Pertuduhan pertama, wanita itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Meriance Kabu, 32, dengan menggunakan playar untuk mencabut empat batang gigi mangsa.‬ 
Perbuatan itu didakwa berlaku di rumahnya di Pandan Jaya di sini, antara 11 April 2014 hingga 20 Disember 2014.‬ 

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh disebat jika sabit kesalahan.‬ 

Manakala bagi pertuduhan kedua, Serene didakwa melakukan percubaan membunuh amah itu semasa mencederakan mangsa dengan niat menyebabkan kematian  ditempat yang sama pada 20 Disember 2014.‬ Bagi kesalahan ini  pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara  maksimum  20 tahun jika sabit kesalahan.‬ 

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmal Farhan Aziz pada mulanya memohon agar mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh memandangkan kes serius itu tidak dibenarkan jaminan.‬ Menurut Akmal Farhan, jaminan tidak wajar diberikan kerana tertuduh dikhuatiri melarikan diri kerana berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun bagi kedua-dua tuduhan yang dihadapinya.‬ 

Mohon Jaminan Kerana Jaga Nenek 93 Tahun

Bagaimanapun  peguam Charles  William Edwin memohon mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh atas alasan tertuduh perlu menjaga neneknya yang berusia 93 tahun.‬ Charles berkata, beberapa syarat boleh diberikan kepada anak guamnya bagi mengelakkan tertuduh melarikan diri. 

‪Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekat setiap hujung bulan.‬ Mahkamah turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan  dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.‬ Sebutan kes ditetapkan pada 5 Februari ini.‬

0 comments:

Post a Comment