3 KESALAHAN UTAMA DIKESAN IMIGRESEN KUALA LUMPUR

Segambut - 26/9/2018

Menetap melebihi tempoh ditetapkan, menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri antara kesalahan paling banyak yang dikesan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur ketika serbuan di tapak pembinaan di Segambut, pagi tadi.


Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata 177 daripada 320 warga asing yang ditahan selepas pemeriksaan terdiri daripada 173 lelaki dan empat perempuan.

Beliau berkata tangkapan tertinggi membabitkan warga Bangladesh seramai 145 lelaki, disusuli dengan 25 lelaki serta empat perempuan dari Indonesia.


“Kita tahan dua lelaki dari Myanmar dan seorang lelaki dari India. Ada tahanan yang hanya membawa sehelai kertas sebagai dokumen pengenalan diri, kita akan periksa sekali lagi dalam sistem untuk memastikan sama ada mereka dikategorikan sebagai pekerja sah di sini.

“Susulan itu, individu terbabit bersama warga asing lain yang ditahan akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan selanjutnya.


Kesemua tangkapan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media operasi bersepadu bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan, Zainora Zainal.

Sementara itu, Zainora berkata pihaknya mendapati syarikat dari China yang beroperasi di tapak pembinaan itu tidak mempunyai permit sah.


“Kita tidak menolak kemungkinan akan mengeluarkan arahan penutupan operasi syarikat itu, namun ia bergantung kepada tahap kesalahan syarikat berkenaan.

“Masalah seperti itu tidak sepatutnya berlaku berikutan CIDB sudah memanggil 87 wakil syarikat dari China awal tahun ini untuk mendengar penerangan mengenai syarat menjalankan operasi pembinaan.

“Tiada lagi alasan, kita tidak akan tolak ansur dalam hal ini (syarikat pembinaan tiada permit),” katanya.
3 KESALAHAN UTAMA DIKESAN IMIGRESEN KUALA LUMPUR 3 KESALAHAN UTAMA DIKESAN IMIGRESEN KUALA LUMPUR Reviewed by Metronews on 4:41 PM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.